BTS Media

Ahli Parlimen Kepong gesa polis siasat Hadi Awang

Oleh Zainal AS Rashid

AHLI Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa polis menyiasat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai apabila menuduh masyarakat bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai antara punca gejala rasuah di negara ini.

Lim juga mempersoalkan niat pemimpin tertinggi PAS itu menyatakan statistik sedemikian tanpa sebarang bukti kukuh atau rujukan untuk menyokongnya.

“Justeru, saya juga meminta polis menyiasat Abdul Hadi sama ada beliau mengeluarkan kenyataan berniat jahat sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (Isnin 22 Ogos), beliau berkata sekiranya kenyataan itu terbukti tidak berasas, beliau mahu kerajaan mengheret Hadi ke mahkamah mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat memihak kepada mana-mana kumpulan atau kaum.

Lim turut merujuk kepada Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan memalukan yang dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, atau perbuatan lain yang boleh disabitkan ke atasnya.

“Abdul Hadi boleh mendapatkan angka rasmi kes rasuah di negara kita serta statistik mengikut negeri yang berada pada kedudukan tertinggi jenayah rasuah untuk membuktikan kenyataannya.

“Bukan dengan tuduhan tidak berasas dan melulu,” tambahnya.

Respons Lim itu adalah berikutan kenyataan Hadi dua hari lepas, di mana beliau menggesa rasuah dihapuskan secara holistik, menyamakannya dengan penyakit dan melabel mereka yang terlibat melakukan dosa besar.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan sebahagian besar daripada apa yang dilabelkan sebagai “akar rasuah”, iaitu mereka yang mengejar keuntungan haram sehingga menjejaskan ekonomi dan politik negara.

-BTS Media

Leave a Comment