GAMBAR: NST
DUA pemandu ditahan reman sehari bagi membantu siasatan kejadian kemalangan maut membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia di Jalan Sultan Ismail awal pagi tadi yang meragut nyawa seorang bapa dan dua anak perempuannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kedua-dua pemandu terbabit ialah pemandu lori Jabatan Imigresen dan Proton Saga yang terlibat dalam kejadian itu.
Beliau berkata perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berkenaan dibuat bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Mohd Zamzuri berkata keluarga berkenaan berasal dari Kampar, Perak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, lori Jabatan Imigresen yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dipercayai melanggar lampu merah ketika lampu beacon dan sirennya diaktifkan sebelum merempuh Proton Saga.
Rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu melanggar empat pejalan kaki daripada keluarga sama serta sebuah Inokom Matrix yang berhenti di persimpangan berkenaan.
Shaik Mohd Firdaus bersama dua anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Isterinya, Norhayati Razali, 55, pula mengalami kecederaan parah di kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi anak pasangan itu, Siti Nor Shakira, 28, tidak terlibat dalam kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-BTSMedia.my



