BTS Media

DAP pilih kekal dalam kerajaan, gesa Anwar percepat reformasi

MAJORITI perwakilan DAP yang berbahas sama ada parti itu perlu terus kekal dalam kerajaan Perpaduan hari ini cenderung untuk mempertahankan kedudukan sehingga tamat penggal, namun pada masa sama menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempercepatkan pelaksanaan reformasi yang dijanjikan.

Perwakilan Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Jason Ng Thien Yeong, berkata DAP tidak seharusnya meninggalkan kerajaan selepas berjaya mencapai kemenangan politik yang diperjuangkan selama ini.

Beliau berkata kekalahan DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi peringatan untuk parti mempergiatkan usaha membawa perubahan, bukannya menarik diri daripada kerajaan.

Menurutnya, DAP perlu mengakui kelemahan kerajaan Perpaduan dan mendesak kepemimpinan, termasuk Anwar, melaksanakan reformasi yang dijanjikan.

Ng turut mempersoalkan pihak yang akan mendapat manfaat sekiranya DAP meninggalkan kerajaan, sambil memberi amaran langkah itu boleh membuka ruang kepada MCA, PAS atau Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Persekutuan.

Sementara itu, perwakilan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, menekankan kepentingan kestabilan politik dengan mengambil iktibar daripada kemelut politik susulan Langkah Sheraton pada tahun 2020.

Beliau berkata ketidakstabilan politik sebelum ini menyebabkan beberapa projek utama tergendala, sedangkan projek seperti sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kini menunjukkan kemajuan di bawah pentadbiran semasa.

Gooi berkata DAP tidak wajar mengabaikan kemajuan yang telah dicapai kerajaan Perpaduan hanya kerana masih terdapat kelemahan dalam pentadbirannya.

Perwakilan Sarawak, Soo Tien Ren, pula menyifatkan keputusan untuk meninggalkan kerajaan pada ketika ini sebagai tindakan yang boleh membawa kepada “bunuh diri politik”.

Katanya, DAP akan dilihat meninggalkan rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada parti itu selain melepaskan tanggungjawab untuk memperbetulkan kelemahan sendiri.

Bagaimanapun, Soo memberi amaran bahawa kekal dalam Kabinet tanpa menjelaskan dengan jelas reformasi yang sedang diperjuangkan juga boleh memakan diri.

Beliau berkata DAP perlu menyatakan kepada rakyat jenis reformasi yang mahu dilaksanakan serta sasaran yang hendak dicapai supaya penyertaan dalam kerajaan tidak sekadar dilihat sebagai usaha mempertahankan jawatan.

Soo turut menggesa DAP mengakui prestasinya yang belum mencapai tahap diharapkan dan meningkatkan tekanan terhadap Anwar untuk melaksanakan reformasi, termasuk menyerahkan portfolio Kewangan serta mengembalikan kuota petrol bersubsidi Budi95 kepada 300 liter.

Perwakilan Kedah, Lim Hooi Yee, turut menyokong pendirian supaya DAP kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal.

Beliau berkata meninggalkan kerajaan bermakna mengkhianati institusi Yang di-Pertuan Agong, rakyat serta prinsip perjuangan DAP.

Lim berkata keputusan tiga PRN berkenaan sepatutnya menjadi isyarat kepada parti untuk melakukan muhasabah dan menilai kelemahan prestasinya, bukannya dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab.

Perwakilan DAP kini sedang mengundi sama ada parti itu perlu terus kekal atau menarik diri daripada kerajaan Persekutuan.

Pengundian itu dibuat selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyerahkan keputusan mengenai penyertaan parti dalam kerajaan kepada perwakilan.

Keputusan pengundian dijangka diumumkan petang ini.

-BTSMedia.my

Leave a Comment