BEKAS pemimpin kanan PKR, Wong Chen, hari ini mengumumkan keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang, justeru menjadikannya wakil rakyat ketiga daripada parti itu berbuat demikian.
Wong berkata peletakan jawatan itu berkuat kuasa hari ini, manakala surat rasmi berhubung keputusan berkenaan telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, pada 5 Ogos lalu.
Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memberi ruang kepada pegawai Parlimen membuat persiapan selama tiga hari bekerja susulan kekosongan kerusi Subang.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dipersetujui secara muafakat, dengan semua pihak bersetuju untuk tidak mendedahkan butirannya sehingga pukul 5 petang hari ini.
Perkembangan terbaru itu menyaksikan Wong mengikuti jejak bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang sebelum ini turut meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat PKR.
Wong berkata beliau juga akan menggugurkan penggunaan gelaran Yang Berhormat dalam semua urusan surat-menyurat mulai bulan depan.
Beliau dijadual mengadakan sidang media pada pukul 11 pagi Rabu ini bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusannya.
Dalam surat peletakan jawatan yang dikongsikan menerusi Facebook, Wong berkata keputusan mengosongkan kerusi Subang itu dibuat secara sukarela.
-BTSMedia.my



