PENGGUNA tempat letak kereta awam di Pulau Pinang wajib membuat bayaran sebaik sahaja kenderaan diletakkan di petak parkir bagi mengelak dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Datuk Bandar MBPP, A. Rajendran, berkata peraturan itu tetap terpakai walaupun pemandu masih berada di dalam kenderaan dan enjin belum dimatikan.
Beliau berkata sistem Pengesanan Nombor Plat Automatik (ANPR) yang digunakan anggota penguat kuasa MBPP boleh mengesan nombor pendaftaran kenderaan dan mendapati sama ada bayaran parkir telah dibuat ketika pemeriksaan dilakukan.
Menurutnya, sekiranya kenderaan dikesan berada di petak parkir tanpa bayaran, tindakan kompaun boleh dikenakan tanpa mengambil kira sama ada pemandu masih berada di dalam kenderaan.
Rajendran berkata tempoh pemandu berada di dalam kenderaan, sama ada lima atau 10 minit, tidak mengecualikan mereka daripada mematuhi peraturan parkir.
Beliau dipetik sebagai berkata demikian pada hari Jumaat (7 Ogos).
Dalam pada itu, pengguna juga perlu membuat bayaran menerusi aplikasi Penang Smart Parking kerana bayaran parkir awam di negeri itu tidak boleh dibuat menggunakan aplikasi e-dompet.
Sistem ANPR berkenaan dikendalikan oleh anggota penguat kuasa yang melakukan rondaan menggunakan kenderaan.
Apabila nombor pendaftaran kenderaan diimbas dan sistem mendapati tiada bayaran parkir direkodkan pada ketika itu, tindakan kompaun boleh dikeluarkan.
-BTSMedia.my



