BTS Media

Lima Lagi Pegawai Imigresen Dicekup SPRM, Siasatan Kes Godam MyIMMs Semakin Meluas

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi pegawai Jabatan Imigresen yang disyaki terbabit dalam kegiatan memanipulasi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi memudahkan pemprosesan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

Menurut sumber, empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari Isnin selepas hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan dalam Ops Crack.

Siasatan awal dipercayai mendapati semua suspek berkomplot menceroboh sistem MyIMMs serta membantu mendapatkan kelulusan permohonan PLKS tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Dalam operasi itu, SPRM turut menyita lima telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan.

Sumber memaklumkan sehingga kini seramai 17 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, manakala sembilan akaun bank membabitkan empat akaun peribadi dan dua akaun syarikat yang mengandungi kira-kira RM300,000 turut dibekukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) serta Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Beliau turut memaklumkan bahawa kelima-lima suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan perintah reman.

Sebelum ini, pada 28 Julai lalu, SPRM menahan 12 individu, termasuk enam pegawai Imigresen dan seorang anggota polis, yang disyaki terbabit dalam sindiket menggodam sistem MyIMMs bagi meluluskan permohonan PLKS secara haram.

Pada 1 Ogos pula, Jabatan Imigresen menahan lapan warga Myanmar dalam satu operasi di Cheras yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berkenaan.

BTSMedia.my

Leave a Comment