SEORANG juruterbang warga Malaysia kini berdepan kemungkinan dijatuhi hukuman mati di Indonesia selepas didakwa menyeludup puluhan ribu pil ekstasi ke Jakarta dalam satu kes yang mengejutkan dunia penerbangan.
Pihak berkuasa Indonesia mendakwa lelaki itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas penerbangannya dari Malaysia. Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 70,000 pil ekstasi yang disembunyikan di dalam bagasinya. Ujian saringan air kencing turut didakwa mendapati dia positif methamphetamine, MDMA dan kokain.
Menurut polis Indonesia, suspek mendakwa dirinya tidak menyedari dadah berkenaan berada dalam bagasi kerana percaya telah dibius sebelum penerbangan. Dakwanya lagi, dia hanya tersedar apabila pesawat sudah mendarat di Jakarta.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada dakwaan tersebut mempunyai asas atau sekadar helah untuk mengelakkan pendakwaan. Jika disabitkan kesalahan mengedar dadah mengikut undang-undang republik itu, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman mati.
– BTSMedia.my



