PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menolak dakwaan bahawa partinya bertanding sebagai “pemecah undi” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya menegaskan penyertaan Bersatu adalah untuk meraih kemenangan.
Beliau turut membidas Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang didakwa melabelkan Bersatu sebagai “pemecah undi”, sambil menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kota Tinggi itu sebagai tidak matang dan memperlekehkan parti berkenaan.
Muhyiddin berkata, Khaled merupakan seorang ahli politik berpengalaman yang pernah berkhidmat dan masih memegang jawatan sebagai menteri, namun cara beliau mengeluarkan kenyataan disifatkan seolah-olah menganggap Bersatu tidak berguna serta tidak mempunyai pengalaman.
Menurut beliau, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang memberi hak kepada mana-mana parti politik untuk bertanding dalam pilihan raya, justeru Bersatu tidak wajar dipandang rendah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri satu program Bersatu di Taman Sri Pulai malam tadi.
Terdahulu, Khaled dilaporkan menyifatkan Bersatu sebagai “pemecah undi” dalam PRN Negeri Sembilan dan menggesa pengundi memastikan parti itu tidak memenangi sebarang kerusi.
Muhyiddin, yang juga bekas perdana menteri, menegaskan Bersatu tidak menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memecahkan undi, sebaliknya bertanding dengan matlamat memenangi sebanyak mungkin kerusi.
Pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini, Bersatu akan bertanding di 24 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
-BTSMedia.my



