PRESIDEN BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk terus memimpin BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, pendirian itu mengambil kira keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada Sabtu yang bersetuju mengekalkan kedudukan beliau sebagai presiden dan usul untuk menolak peletakan jawatan beliau.
“Dalam mesyuarat BERSATU semalam (Sabtu), saya menawarkan diri untuk meletak jawatan kerana sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah. Ia bertepatan dengan moto parti sendiri iaitu Bersatu, Bermaruah dan Beramanah.
“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pertuduhan yang sedang dihadapi. Tetapi mereka menolak dan parti (Bersatu) juga meluluskan usul untuk tolak peletakan jawatan saya. Jadi, saya ambil keputusan untuk teruskan tugas sebagai presiden parti.
“Saya terharu dengan sokongan yang luar biasa untuk saya terus memimpin parti BERSATU dan PN,” katanya ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM di Kuala Lumpur, pada Ahad.
Muhyiddin berdepan dengan enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Beliau sekali lagi akan dituduh pada Isnin mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).