MAHKAMAH Sesyen hari ini membebaskan Zizie Izette A. Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat memperoleh rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan unit amanah bernilai RM150 juta oleh Felcra Bhd.
Hakim Rosli Ahmad dilaporkan memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sekali gus melepas dan membebaskan bekas pelakon berusia 48 tahun itu daripada semua pertuduhan.
Kes berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, suami Zizie Izette, yang didakwa menerima suapan berkaitan urusan pelaburan tersebut.
Sejurus keputusan dibacakan, Zizie Izette tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata. Beberapa ahli keluarganya yang berada di galeri awam dilihat menenangkan beliau, sementara beliau menekup wajahnya ketika menerima keputusan mahkamah.
– BTSMedia.my



