BTS Media

Isa Samad lepas, bebas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta

GAMBAR: Berita Harian

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Mohd Isa, 75, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Vazeer Alam berkata isu kekaburan pertuduhan yang timbul perlu memihak kepada Mohd Isa sebagai perayu apabila ada dua versi dan percanggahan kes pendakwaan berkaitan tujuan sebenar suapan terbabit.

Katanya, Mahkamah Tinggi tersalah arah apabila memutuskan kes prima facie terhadap Mohd Isa sebelum ini, berdasarkan keterangan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16), Ikhwan Zaidel.

Kebimbangan dan ketakutan terhadap pengaruh Mohd Isa sebagai Pengerusi FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) berhubung penyiapan kontrak menjadi punca Ikhwan memberi suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pertuduhan itu sendiri menetapkan bahawa suapan berkenaan sebagai ganjaran atas bantuan (Mohd Isa) dalam mendapatkan kelulusan FICSB untuk pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS).

“Oleh itu, kami mendapati bahawa keseluruhan sabitan ke atas sembilan pertuduhan itu adalah tidak selamat. Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan itu dan wajar ada campur tangan.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman membabitkan semua pertuduhan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan,” katanya.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian MPHS di Kuching, Sarawak oleh FELDA.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA di Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Vazeer Alam berkata pihaknya bersetuju dengan pembelaan bahawa pertuduhan terbabit menjadi defektif atau cacat.

Ia apabila kebimbangan terhadap pengaruh perayu sebagai Pengerusi FICSB terhadap keputusan untuk membeli

MPHS kerana pembayaran dibuat SP16 kepada SP21 yang juga bekas pembantu Mohd Isa, Muhammad Zahid Arip Zahid, selepas diluluskan lembaga pengarah, yang mana ia tidak dinyatakan dalam sembilan pertuduhan berkenaan.

“Pihak pendakwaan membentangkan dua naratif yang berbeza mengenai kes itu, di mana dalam pertuduhan dan hujahan pembukaan mereka dinyatakan bahawa suapan itu adalah ganjaran untuk membantu meluluskan pembelian MPHS.

“Kemudian ketika perbicaraan naratif itu ditukar kepada dorongan supaya perayu tidak mengganggu kontrak pembelian MPHS.

“Persoalan timbul mengenai Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM yang digunakan hakim sebelum ini dalam memutuskan wujud kes prima facie terhadap perayu. Adakah ia satu ganjaran atau dorongan?,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, ketika ditemui pemberita memaklumkan perlu berbincang dengan Peguam Negara (AG) sebelum memutuskan untuk merayu atau sebaliknya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1220138/isa-samad-lepas-bebas-9-tuduhan-rasuah-rm3-juta

Leave a Comment