LIMA wadar Penjara Taiping akan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada pukul 9 pagi esok susulan siasatan berhubung dakwaan memukul beberapa penghuni penjara dalam kejadian pada bulan Januari tahun lalu yang mengakibatkan seorang banduan maut, manakala beberapa lagi cedera.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar, berkata kertas siasatan yang dilengkapkan oleh JSJ Bukit Aman bersama Polis Perak telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, yang pada 29 Jun lalu mengarahkan supaya lima pegawai penjara terbabit didakwa.
Menurut beliau, seorang daripada mereka akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, manakala dua lagi akan didakwa mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana menyebabkan kecederaan dengan niat bersama.
Beliau berkata, dua lagi pegawai penjara pula akan didakwa mengikut Seksyen 324 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dengan niat bersama.
Katanya, pertuduhan itu melibatkan tiga penghuni penjara yang mengalami kecederaan. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
- Kumar turut memaklumkan bahawa seorang lagi pegawai penjara sebelum ini telah didakwa pada 19 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh berkaitan kejadian yang sama.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebelum ini menggesa tindakan tatatertib diambil segera terhadap pegawai penjara yang terbabit, sambil menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa dan salah laku tidak boleh dikompromi.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan akan membenarkan proses perundangan berjalan sekiranya wujud bukti salah laku.
-BTSMedia.my



