BTS Media

Tiga daerah di Kedah catat gelombang haba tahap 2, MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan tiga daerah di Kedah kini berada pada tahap gelombang haba tahap 2 susulan suhu tinggi berterusan yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung.

Dalam kemas kini pada jam 4 petang Selasa, jabatan itu menyatakan Pokok Sena, Pendang dan Baling telah merekodkan tahap tersebut, yang ditentukan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia turut menjelaskan bahawa sebanyak 14 kawasan lain diletakkan di bawah tahap 1 (waspada), iaitu apabila suhu maksimum harian berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari atau lebih.

Antara kawasan terlibat ialah Perlis; Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Timur Laut serta Seberang Perai Utara di Pulau Pinang; selain Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak.

Orang ramai dimaklumkan boleh merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini status cuaca panas harian.

Sementara itu, jabatan berkenaan dalam kenyataan berasingan memaklumkan amaran ribut petir telah dikeluarkan pada jam 4.30 petang melibatkan beberapa kawasan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, yang dijangka berterusan sehingga jam 7 malam hari sama.

Menurut kenyataan itu, antara kawasan di Perak yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang ialah Larut, Matang dan Selama, Manjung, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.

Keadaan cuaca sama turut dijangka melanda Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

MetMalaysia menjelaskan bahawa amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang sedang atau dijangka berlaku melebihi tempoh sejam, dan lazimnya sah untuk tempoh singkat tidak melebihi enam jam.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment