BTS Media

Bayaran fasa dua STR bermula esok libat peruntukan RM1.3 bilion

KERAJAAN akan memulakan pengagihan fasa kedua Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara berperingkat mulai esok, melibatkan peruntukan berjumlah RM1.3 bilion.

Keputusan untuk mengawalkan bayaran itu dibuat bagi membantu kira-kira lima juta penerima melakukan persiapan sempena bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kewangan, peruntukan bagi fasa kedua ini menunjukkan peningkatan berbanding agihan fasa pertama pada Januari lalu yang melibatkan jumlah RM1.1 bilion.

Bantuan kali ini akan memberi manfaat kepada 3.8 juta isi rumah dan 1.4 juta warga emas bujang, dengan kadar bantuan yang ditetapkan antara RM100 hingga RM600 berdasarkan kategori kelayakan setiap penerima.

Bagi seramai 200,000 penerima baharu yang baru mendapat kelulusan, pembayaran akan dibuat bermula pada 30 Mac depan.

Mengenai kaedah penyaluran, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bantuan tersebut melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing. Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, termasuk di kawasan Sabah, Sarawak dan Labuan, tuntutan bayaran boleh dibuat secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

-BTSMedia.my

Leave a Comment