KERAJAAN mampu menyelamatkan dana sebanyak RM1 bilion daripada wang yang diperuntukkan untuk penambahan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Peruntukan itu sebaliknya boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir, katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023.
“Sebenarnya, pencarum tak mohon suntikan RM1 bilion ini tapi mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara bersasar.
“Kalau itu diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan RM1 bilion dan boleh bagi pada kawasan-kawasan yang hadapi banjir yang teruk untuk digunakan untuk selamatkan mangsa-mangsa yang ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sewaktu pembentangan Belanjawan 2023, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menambah RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 dan 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan jumlah peruntukan RM1 bilion.
‘Manifesto tak tergambar dalam belanjawan’
Sementara itu, Muhyiddin (PN-Pagoh) turut mengkritik kandungan belanjawan dan membandingkannya dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam pilihan raya umum lalu.
Antaranya dia berkata dalam manifesto PH, terdapat janji untuk dana peruntukan kawasan sama rata kepada semua wakil rakyat.
Selain itu, katanya, terdapat komitmen untuk menghapuskan “kartel” dalam sektor makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan mengaut keuntungan melampau dan janji bagi menambah peruntukan program sarapan percuma.
“Ini semua tak disentuh dalam ucapan pembentangan… mungkin ia tidak penting bagi YAB Tambun (Anwar),” katanya.
Ketika membangkitkan perkara tersebut, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berdiri untuk mencelah, tetapi presiden Bersatu itu tidak mengizinkannya kerana ingin bergegas pulang ke kawasannya.
Muhyiddin kemudian menyambung dengan mempersoalkan ketiadaan janji manifesto BN sebagai parti gabungan dalam kerajaan.
Antara perkara itu, katanya, janji untuk mengkreditkan secara automatik setiap bulan dalam akaun isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.