BTS Media

Lapan lelaki ditahan kerana bergaduh dalam balai polis Meru

POLIS menahan lapan lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di balai polis Meru, Klang.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata kejadian pada 2 Mac itu melibatkan kekecohan yang berlaku di dalam kawasan balai polis berkenaan dan dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan kawasan keselamatan.

Beliau memaklumkan bahawa setakat ini seramai lapan lelaki warga tempatan telah ditahan berhubung kejadian tersebut melalui tiga siri tangkapan berasingan.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang direman selama tiga hari bermula 3 Mac hingga 5 Mac, sebelum permohonan sambungan reman diluluskan sehingga 6 Mac.

Tangkapan kedua pula melibatkan dua lelaki berusia antara 39 hingga 44 tahun yang direman selama tiga hari bermula 4 Mac hingga 6 Mac.

Sementara itu, tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang turut direman selama tiga hari bermula 5 Mac hingga 7 Mac.

Beliau berkata semakan mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes keganasan termasuk bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh di bawah Seksyen 307, rompakan berkumpulan dan pecah rumah, selain seorang suspek turut tersenarai sebagai individu dikehendaki polis.

Tambahnya, seorang daripada suspek juga dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif benzodiazepine manakala suspek lain didapati negatif.

Polis turut merampas sebuah topi keledar berwarna hitam dan sebatang paip besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148, 427 dan 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan institusi polis serta mengancam ketenteraman awam.

-BTSMedia.my

Leave a Comment