PASARAN saham Qatar menyusut pada awal dagangan hari Isnin, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggantung dagangan selama dua hari ketika negara-negara Teluk berdepan serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran, yang dilihat sebagai petanda awal gangguan ekonomi yang semakin meningkat di rantau tersebut.
Israel telah melancarkan gelombang baharu serangan ke atas Tehran pada hari Ahad, dan Iran bertindak balas dengan melancarkan bedilan peluru berpandu baharu, sehari selepas kematian Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei, yang dikatakan menambah ketidaktentuan di Timur Tengah serta ekonomi global.
Pihak Berkuasa Pasaran Modal UAE memaklumkan bahawa Abu Dhabi Securities Exchange dan Dubai Financial Market akan ditutup pada 2 dan 3 Mac, dengan alasan peranan penyeliaan dan kawal selia badan itu terhadap pasaran modal negara berkenaan.
Di Qatar, indeks penanda aras, yang sebelum ini ditutup sempena cuti bank pada hari Ahad, Â dilaporkan susut sebanyak 3.3 peratus, dengan kesemua komponennya mencatatkan kejatuhan. Pasaran negara itu beroperasi dari hari Ahad hingga Khamis.
Pemberi pinjaman terbesar di Teluk dari segi aset, Qatar National Bank, jatuh 3.7 peratus. Sementara itu, Qatar Islamic Bank merosot 5.2 peratus, justeru mencatatkan kejatuhan terbesar sejak bulan Ogos 2023. HSBC menurunkan harga sasaran bagi bank patuh Syariah itu kepada 28.4 riyal (AS$7.79) daripada 29.4 riyal.
-BTSMedia.my



