ISRAEL telah melancarkan serangan ke atas fasiliti nuklear Iran.
Alasan Israel terhadap serangan ke atas Tehran itu ialah kononnya Iran membangunkan senjata nuklear.
Bagi puak Zionis Israel, ia adalah “detik penentu dalam sejarah Israel”.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata tentera zionis juga menyasarkan saintis Iran yang mengusahakan bom nuklear dan kilang peluru berpandu dalam operasi yang akan berterusan selama beberapa hari.
Susulan itu, oleh sebab takut Iran akan menyerang balas, Israel telah mengisytiharkan darurat sebagai persediaan menghadapi serangan peluru berpandu dan dron oleh Tehran.
Berikut adalah beberapa reaksi daripada pegawai tertinggi dan kerajaan di seluruh dunia:
Amerika Syarikat berasa kurang senang dengan tindakan jahat Israel itu, dan Setiausaha Negara Marco Rubio berkata bahawa Israel telah mengambil tindakan unilateral terhadap Iran.
Beliau juga pantas menepis tuduhan bahawa AS terlibat dalam serangan terhadap Iran itu.
Bagaimanapun, Rubio berkata keutamaan AS kini adalah untuk melindungi pasukan tentera Amerika di rantau itu.
Tanpa mengecam Israel, Rubio sebaliknya mengecam Iran. Beliau berkata bahawa Iran tidak seharusnya menyasarkan kepentingan atau kakitangan AS.
Menteri Luar Australia Penny Wong pula berkata Australia bimbang dengan peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran.
Beliau berkata apa yang berlaku boleh mengancam lagi rantau yang sudah tidak stabil, dan menyeru semua pihak agar menahan diri daripada tindakan dan retorik yang akan memburukkan lagi ketegangan.
Sama dengan Rubio, Wong juga lebih memandang berat momokan ancaman program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, dan menggesa pihak-pihak untuk mengutamakan dialog dan diplomasi.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon mengulas bahawa ia adalah perkembangan yang tidak menyenangkan di Timur Tengah.
Beliau berkata bahawa risiko salah perhitungan adalah tinggi dan rantau itu tidak memerlukan lagi tindakan ketenteraan, dan risiko yang berkaitan dengannya.
-BTS Media