GAMBAR: Anadolu
SETAKAT ini, pada bulan Ogos, Israel telah melakukan serangan udara ke atas 13 pusat perlindungan di Gaza, di mana penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berlindung.
Jurucakap Pertahanan Awam Palestin berkata serangan terbaharu berlaku pada awal hari Sabtu dengan pengeboman sekolah Al-Taba’een di kejiranan Al-Daraj, timur Gaza.
Sekurang-kurangnya 100 penduduk Gaza maut dalam serangan itu.
Dalam sidang akhbar, jurucakap Pertahanan Awam di Gaza, Mahmoud Basal berkata serangan telah memusnahkan bangunan dua tingkat itu, lapor Anadolu.
“Kami mendesak masyarakat dunia supaya campur tangan segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam di tempat perlindungan,” kata Basal.
Sebelum ini, Pejabat Media Kerajaan di Semenanjung Gaza berkata, tentera Israel secara terang-terangan menyasarkan orang awam yang sedang menunaikan solat subuh di premis berkenaan.
Walaupun pada hari Khamis beberapa negara, termasuk Mesir, Amerika Syarikat, dan Qatar, merayu Israel supaya menghentikan permusuhan, mengadakan gencatan senjata, dan mengusahakan pertukaran tebusan, namun rejim Zionis tetap meneruskan serangan mautnya di Semenanjung Gaza.
Serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza setakat ini telah membunuh hampir 39,700 orang sejak bulan Oktober lalu.
Israel tidak mempedulikan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya menghentikan operasi pembunuhan beramai-ramai di bandar Rafah, selatan Gaza di mana lebih 1 juta penduduk Palestin mendapatkan perlindungan sebelum ia dicerobohi pada 6 Mei.
-BTS Media