GAMBAR: Anadolu
Oleh Yusoff A. Shariff
KEMENTERIAN Luar Negeri Palestin semalam mengkritik Peru kerana membenarkan warganya membantu tentera Israel di Gaza, lapor Anadolu.
Kenyataan itu menyusul selepas kerajaan Peru menyatakan takziah ke atas kematian seorang rakyatnya yang menyertai operasi ganas tentera Israel di Gaza.
Dalam satu catatan di ‘X’, Kementerian Luar Negeri Peru pada hari Rabu berkata, “Kerajaan Peru menyesali kematian Yuval Lopez, seorang warganegara Peru-Israel yang berkhidmat sebagai tentera simpanan dalam Angkatan Pertahanan Israel.”
Palestin, dalam kenyataannya, menganggap pengiktirafan Peru itu sebagai “membenarkan warganya mengambil bahagian dalam genosid yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza. Ini jelas melalui kes warganegara Peru Yuval Lopez, yang terbunuh di Gaza.”
Palestin menggesa Peru “menarik balik status kewarganegaraan Lopez yang juga memegang kewarganegaraan Israel dan penglibatannya dalam melakukan keganasan ke atas penduduk Gaza.”
Palestin menganggap bahawa sekarang masa penting dalam menentukan pendirian sebenar Peru berhubung kemanusiaan, dan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa.
Selain itu, Palestin turut mengulangi gesaannya kepada semua negara supaya “mengesahkan status kewarganegaraan rakyat masing-masing di Israel yang berkemungkinan menyertai dalam operasi penganiayaan terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Setakat ini Peru belum memberikan respons terhadap kenyataan dari Kementerian Luar Palestin itu.
Walaupun keputusan telah dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Israel terus mengganas di Semenanjung Gaza di mana sekurang-kurangnya 26,257 orang Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan 64,797 cedera sejak 7 Oktober.
Serangan Israel telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan menderita kerana kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan, sementara 60 peratus infrastruktur kawasan terbabit rosak atau musnah.
-BTS Media