HASRAT pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Sulaiman J. S. Abuanza untuk kembali ke Malaysia dari Gaza bagi meneruskan pengajiannya tidak kesampaian apabila disahkan terkorban akibat tembakan tentera Zionis Israel, dua minggu lalu.
Difahamkan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Informatik AIU itu sepatutnya pulang dari Gaza ke Malaysia melalui sempadan Mesir namun pada 7 Oktober lalu, dia dibunuh oleh penembak tepat tentera Israel ketika melintasi satu lokasi yang berhampiran antara Gaza dan kawasan dikawal pihak berkuasa rejim Zionis.
Sulaiman yang berada pada tahun kedua pengajiannya sebelum itu pulang ke kampung halaman bagi menemui keluarga ketika cuti semester dan untuk menjalani pembedahan lasik mata.
Meskipun terpaksa meninggalkan Gaza bagi menuntut ilmu, Sulaiman masih sayang tanah airnya iaitu Palestin dan sering membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakan di AIU berhubung nasib yang menimpa negara asalnya.
Malah beliau sering menganjurkan program dan kempen berkenaan Palestin di kampus AIU terhadap nasib yang dialami rakyat negara itu akibat penindasan dilakukan rejim Zionis Israel.
Selain aktif di kampus, Sulaiman adalah pelajar berbakat dan cemerlang apabila pernah memperoleh keputusan peperiksaan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.65, di samping banyak melakukan projek komuniti universiti termasuk menganjurkan perniagaan sosial di AIU.
Sekalipun berasal dari negara konflik, ramai rakan sekelas menyifatkan Allahyarham seseorang individu yang suka membantu dan sering menawarkan pertolongan jika diperlukan.