BTS Media

Netanyahu: Israel tekad akan selesaikan ancaman Iran dengan sokongan Amerika Syarikat

GAMBAR: Photo Pool

PERDANA Menteri rejim Zionis Israel Benjamin Netanyahu berkata pada hari Ahad bahawa Israel akan “menyelesaikan tugas” terhadap Iran dengan sokongan AS.

Dia berkata demikian semasa sidang akhbar di Baitulmaqdis sempena lawatan Setiausaha Negara AS Marco Rubio.

Netanyahu mendabik dada kononnya sejak 16 bulan lalu, Israel telah memberikan tamparan hebat kepada Iran.

Menurutnya, kini di bawah kepimpinan kuat Presiden Donald Trump yang tidak berbelah bahagi, dia tidak ragu-ragu bahawa Israel akan mampu melaksanakan matlamat jahat itu.

Susulan serangan pejuang Hamas ke atas wilayah Gaza yang diduduki Israel pada 7 Okt 2023, Israel telah berperang dengan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin yang disokong Iran di Gaza dan Hizbullah yang bersekutu dengan Teheran di Lubnan.

Israel juga berdepan dengan serangan daripada kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Yaman dan Iraq yang solidariti dengan Palestin.

Netanyahu mengalu-alukan pemilihan Presiden AS Donald Trump yang pantas mengembalikan dasar “tekanan maksimum” terhadap Iran, sama seperti yang dilakukan semasa penggal  pertama beliau, atas dakwaan bahawa Iran membangunkan senjata nuklear sendiri.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio pula berkata bahawa Iran tidak akan menjadi kuasa nuklear, dengan menggelar negara berdaulat republik Islam itu sebagai kononnya ia punca ketidakstabilan di Timur Tengah.

“Tidak mungkin ada sebuah negara kuasa nuklear Iran yang boleh mempertahankan dirinya dan kebal daripada apa jua tindakan Amerika dan Israel,” kata Rubio pada sidang akhbar bersama dengan Netanyahu di Baitulmaqdis.

“Sama ada kita bercakap tentang Hamas atau kita bercakap tentang Hizbullah, atau kita bercakap tentang keganasan di Tebing Barat, atau kita bercakap tentang ketidakstabilan di Syria, atau kita bercakap tentang mana-mana isu ini, semua kumpulan pejuang itu disokong Iran,” tambah Rubio.

Iran dan Israel berbalas serangan tahun lalu buat pertama kali, berlatar belakang ketegangan serantau yang dicetuskan oleh perang Gaza.

Pada 26 Oktober, Israel mengebom pangkalan tentera di Iran, membunuh empat anggota tentera, sebagai tindak balas kepada serangan 1 Oktober oleh Iran yang menggunakan lebih 200 peluru berpandu.

Pada 13 April, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel, sebagai tindakan balas terhadap serangan maut 1 April ke atas konsulat di Damsyik.

-BTS Media

Leave a Comment