BTS Media

Anwar mesti tolak sebarang cubaan wujudkan hubungan dengan Israel

Oleh Zainal AS Rashid

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menolak sebarang percubaan bagi menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata bahawa Israel kini meletakkan tekanan politik ke atas Malaysia dan negara lain untuk mengiktiraf kesahihannya sebagai negara berdaulat.

Beliau berkata sekiranya Malaysia tunduk kepada Israel, ia akan membawa bencana kepada perjuangan untuk membebaskan rakyat Palestin daripada kekejaman Zionis, lapor NST.

Mohd Azmi yang berkata demikian pada pelancaran program Tabung Selamatkan Al-Aqsa di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Jitra semalam menegaskan bahawa, pada masa ini terdapat usaha menekan Malaysia untuk menormalkan hubungan dengan Israel, dan MAPIM sedang memantau perkembangan tersebut.

Beliau menekankan supaya semua negara Islam tidak menyokong hubungan diplomatik dengan Israel memandangkan mereka kini sedang berbuat demikian di Asia Tenggara, dan Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang disasarkan.

Azmi juga menegaskan bahawa penyelesaian dua negara bagi konflik Palestin-Israel akan kekal tidak realistik kerana Israel tidak mahu menerima sebarang bentuk kompromi.

Beliau berkata Malaysia mesti menerajui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menolak pelaksanaan cadangan “Perjanjian Abad Ini” (Deal of the Century), iaitu perjanjian bagi mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Mengapa kita, sebagai umat Islam, perlu berkompromi dalam hal ini, walhal Israel tidak akan berkompromi, dan mereka hanya mahukan kawalan penuh ke atas wilayah itu, termasuk  Baitulmuqaddis.

Beliau berkata Malaysia perlu menerajui usaha mengambil alih dan menggesa negara-negara Islam lain supaya menolak “Perjanjian Abad Ini” yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.

“Perjanjian Abad Ini” dicadangkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 28 Jan 2020. Ia melibatkan penubuhan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Rancangan itu juga melibatkan penubuhan sebuah negara Palestin dengan ibu kotanya di Abu Dis, sebuah perkampungan Tebing Barat di sebelah timur sempadan kawasan perbandaran Baitulmaqdis.

Pada hari yang sama perjanjian itu dicadangkan, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata bahawa Malaysia telah mengkaji dengan teliti perjanjian damai tersebut dan mendapati ia “sangat tidak boleh diterima”.

Pada 19 Dis, Anwar berikrar bahawa Malaysia akan tetap berjuang bagi menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

Beliau dilaporkan berkata pentadbirannya akan terus menyokong perjuangan yang adil bagi rakyat Palestin dan mengutuk segala jenis gangguan dan cubaan untuk melupuskan hak rakyat Palestin.

-BTS Media

Leave a Comment