BTS Media

Jalan Jerantut – Maran ditutup akibat banjir

MARAN: Jalan Jerantut – Maran ditutup kepada semua kenderaan di beberapa tempat akibat dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman, berkata laluan terlibat ialah di Kampung Jara, iaitu penutupan sepanjang 300 meter (m), 1 laluan ke Kuil Marathandavar sepanjang 150m dan berhampiran simpang Liyana Tomyam sepanjang 200m.

“Pengguna boleh menggunakan laluan Jalan Bukit Tajau – Bandar Pusat Jengka atau menggunakan laluan utama Temerloh – Maran kerana buat masa ini tiada laluan di Jalan Kuantan – Maran ditutup,” katanya di sini hari ini.

Norzamri ditemui semasa meninjau operasi Pusat Pemindahan Tetap Kampung Luit di sini hari ini, yang mula beroperasi semalam bagi menempatkan 162 mangsa banjir daripada 39 keluarga ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam.

Beliau juga menasihati mangsa banjir untuk mematuhi arahan berpindah dan menunggu sehingga kelulusan pulang diberikan supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Kita juga telah menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Kereta Peronda untuk membuat pemantauan di tempat banjir bagi tujuan keselamatan,” katanya.

Norzamri berkata, situasi banjir di Maran lebih baik setakat tengah hari tadi dengan trend air menurun, namun semua pihak masih berada dalam keadaan waspada.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Maran dalam kenyataan dimuat naik menerusi laman Facebook memaklumkan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Serengkam dengan laluan alternatif ialah menggunakan Jalan Lubuk Paku.

– Bernama

Leave a Comment