GAMBAR ATAS: Bernama.
Oleh Fetty Rara
JOHOR BAHRU: Kota Tinggi merupakan daerah terbaharu dilanda banjir kilat selepas Segamat, justeru menjadikan jumlah mangsa banjir di Johor 93 orang setakat pukul 8.00 pagi tadi, berbanding 21 orang petang Rabu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Al-Barakah, Kota Tinggi dibuka pada pukul 10.00 malam tadi untuk menempatkan 72 mangsa daripada 18 keluarga.
“Ini menjadikan keseluruhan tiga PPS dibuka, termasuk dua PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya yang menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga di Segamat, sejak semalam.
“Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya di Segamat dan Kampung Sri Jaya serta Kampung Sri Delima di Kota Tinggi.” Katanya lagi.
Pada Rabu, air Sungai Muar melimpah hingga menyebabkan beberapa rumah dinaiki.
-BTS Media