SETIAUSAHA Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani, berkata bahawa rakyat Iran akan memastikan Amerika Syarikat dan Israel menyesali tindakan agresif mereka terhadap negara itu, termasuk serangan udara yang dilancarkan pada hari Sabtu.
Beliau berkata Iran akan membuat “penjenayah Zionis” dan Amerika yang disifatkannya sebagai hina menyesali perbuatan mereka, kerana tentera dan rakyat Iran akan memberi pengajaran yang tidak akan dilupakan kepada pihak yang digelarnya sebagai kuasa zalim antarabangsa menerusi kenyataannya di akaun X pada hari Sabtu.
Ini susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas beberapa bandar di 24 wilayah Iran,yang turut menyasarkan kawasan ketenteraan dan perumahan awam.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, sekurang-kurangnya 201 orang disahkan terbunuh setakat pukul 8.45 malam waktu tempatan, manakala jumlah yang cedera dilaporkan seramai 747 orang ketika pengumuman dibuat.
Dalam perkembangan lain, media rasmi Iran telah mengesahkan bahawa Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, maut dalam serangan udara yang disifatkan sebagai operasi ketenteraan besar oleh Amerika Syarikat dan Israel.
-BTSMedia.my



