KEMENTERIAN Pengangkutan menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penglibatan pegawai penguat kuasa yang disyaki bertindak sebagai orang tengah kepada kartel ‘tonto’ berkaitan kegiatan perlindungan melibatkan kenderaan komersial.
Menurut kementerian itu, pihaknya telah dimaklumkan lebih awal mengenai operasi bersama yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPRM bagi memelihara imej, kredibiliti serta integriti jabatan berkenaan.
Difahamkan, kementerian turut menerima pelbagai aduan, termasuk daripada pengusaha lori, berhubung dakwaan bahawa terdapat anggota penguat kuasa yang membocorkan maklumat operasi kepada pihak luar sebelum tindakan dijalankan.
Isu berkenaan dibangkitkan kepada kepimpinan tertinggi dan bahagian penguat kuasa JPJ, sekali gus membawa kepada kerjasama dengan SPRM untuk mengambil tindakan. Hasil siasatan dan pemantauan mendapati wujud penglibatan pihak dalaman, dan tangkapan telah dibuat.
Keadaan tersebut dipercayai menjejaskan keberkesanan operasi penguatkuasaan berskala besar terhadap lori yang membawa muatan berlebihan, apabila pengusaha yang tidak mematuhi peraturan hanya mematuhi had muatan pada hari operasi selepas menerima maklumat awal.
Tindakan yang diambil oleh SPRM diharap menjadi amaran tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab bahawa sebarang salah laku sedang dipantau, termasuk pengusaha lori yang dipercayai membayar ‘tonto’ bagi mendapatkan maklumat operasi.
Terdahulu, seramai 13 individu termasuk tiga pegawai penguat kuasa telah direman kerana disyaki mendalangi kartel ‘tonto’ yang dikaitkan dengan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 27 Februari telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya susulan permohonan yang dikemukakan oleh SPRM.
-BTSMedia.my



