SEBUAH fosil seekor landak berusia kira-kira 10,000 tahun, yang sebelum ini tertanam pada dinding gua di Gua Matsoorat, hilang, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap perlindungan tapak warisan geologi.
Pemandu berpengalaman serta sukarelawan dan peneroka, Mohd Zairis Abdul Rani, berkata penemuan fosil gigi dan rahang mamalia itu dibuat pada bulan Ogos tahun lalu bersama kumpulan pemuliharaan bukit batu kapur, Kinta Valley Watch.
Beliau berkata bahawa ketika memasuki laluan gua pada penghujung bulan Januari, fosil yang berada di dua lokasi berasingan didapati telah dipotong, dipercayai menggunakan pengisar berkuasa bateri, sebelum didapati hilang sepenuhnya.
Menurutnya, penemuan fosil yang lengkap dengan gigi dan rahang jarang berlaku, dan ia sesuatu yang istimewa.
Gua Matsoorat merupakan sebahagian daripada tapak Kinta Valley Geopark dan mempunyai fosil serta seni batu purba, termasuk penemuan beberapa fosil mamalia herbivor yang tertanam pada dinding gua atau pada bongkah batu yang runtuh.
Mohd Zairis berkata beliau sering membawa penyelidik, pelajar universiti dan ke gua berkenaan untuk ekspedisi serta bekerjasama rapat dengan persatuan Kinta Valley Watch, dan percaya kecurian fosil itu dilakukan oleh orang yang berpengalaman.
Sementara itu, jurucakap Kinta Valley Watch, Ching Boon Tat, berkata peranan kumpulan itu sebagai aktivis alam sekitar adalah untuk memantau dan merekod aktiviti di tapak warisan ekologi.
Namun, beliau berkata sekiranya fosil hilang secara tiba-tiba, pihak berkuasa atau jabatan berkaitan perlu menjalankan siasatan, selain menegaskan keperluan penyelarasan dan pengurusan yang lebih baik bagi mengelakkan kerosakan lanjut.
Beliau melahirkan kebimbangan kerana apa yang berlaku mencerminkan isu lebih luas di Malaysia berkaitan pemeliharaan warisan semula jadi dan budaya, yang masih berdepan kekaburan tanggungjawab serta pengawasan terhad.
Ching dan pasukannya pernah menemui fosil gajah pra-sejarah di sebuah gua batu kapur di Gopeng pada tahun 2020, yang dianggarkan berusia antara 30,000 hingga 80,000 tahun dan dikatakan penemuan pertama fosil Stegodon di negara ini.
Pada tahun 2019 pula, Kinta Valley Watch menemui 107 fosil berusia sekitar 10,000 tahun semasa ekspedisi berhampiran Gua Naga Mas di Simpang Pulai.
 – BTSMedia.my



