BTS Media

Pengurusan Jambatan Angkat Kuala Terengganu gesa orang ramai elak aktiviti berbahaya

PENGURUSAN Jambatan Angkat Kuala Terengganu menggesa orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti berbahaya, termasuk menyalakan suar, di kawasan jambatan berkenaan berikutan risiko keselamatan.

Menurut kenyataan, TI Properties Sdn Bhd memandang serius tindakan sekumpulan penyokong bola sepak yang menyalakan suar di mercu tanda ikonik itu pada petang semalam.

Syarikat tersebut memaklumkan bahawa penggunaan suar secara terbuka boleh mendatangkan pelbagai bahaya keselamatan, antaranya kebakaran, letupan kecil, kecederaan kepada pejalan kaki serta kerosakan pada struktur jambatan dan kemudahan awam.

Tambahnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja membahayakan keselamatan orang awam, malah boleh menjejaskan imej negeri jambatan tersebut yang merupakan salah satu tarikan pelancongan utama di Kuala Terengganu.

Pengurusan jambatan turut menegaskan bahawa tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati terlibat.

Sehubungan itu, kerjasama orang awam amat dihargai bagi memastikan jambatan berkenaan terus kekal sebagai mercu tanda kebanggaan negeri Terengganu.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 33 penyokong Selangor FC direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di jambatan tersebut pada hari Ahad.

-BTSMedia.my

Leave a Comment