BTS Media

174 kompaun merokok dikeluarkan dalam sehari di zon warisan Pulau Pinang

PEMANTAUAN pematuhan terhadap peraturan larangan merokok di zon warisan Pulau Pinang didapati semakin menurun.

Menurut Jabatan Kesihatan negeri keadaan tersebut dapat dilihat pada 24 Januari lalu apabila pegawai penguat kuasa mengeluarkan sebanyak 174 kompaun dalam tempoh sehari, dengan saman berjumlah RM41,800, daripada kesalahan orang ramai semasa operasi antimerokok di kawasan zon warisan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 112 premis diperiksa dalam operasi tersebut yang melibatkan seramai 99 anggota penguat kuasa. Zon warisan Pulau Pinang telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Merokok sejak 4 Julai 2015.

Operasi itu dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024, selaras dengan peluasan kawasan larangan merokok serta langkah kawal selia lain.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk pengeluaran 108 notis kehadiran ke mahkamah, 35 notis bagi kes merokok di kawasan larangan dan tiga notis terhadap individu bawah umur yang didapati merokok.

Selain itu, tindakan turut dikenakan terhadap pemilik premis apabila 27 notis dikeluarkan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok, manakala satu notis dikeluarkan kerana menyediakan ruang merokok di premis yang tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, dua pemilik premis didakwa di mahkamah kerana gagal mempamerkan notis larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok atau pengganti tembakau kepada individu di bawah umur 18 tahun di kaunter jualan. Kedua-dua premis tersebut dikenakan denda keseluruhan sebanyak RM2,300.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa dari tahun 2023 hingga 23 Disember 2025, sebanyak 304 kompaun telah dikeluarkan kepada perokok di zon warisan, dengan 74 kompaun pada tahun 2023, 124 pada tahun 2024 dan 106 padatahun 2025.

-BTSMedia.my

Leave a Comment