BTS Media

Chegubard akan dedah dua kes rasuah libat pusat zakat negeri dan agensi awam

SEORANG aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, mendakwa beliau akan mendedahkan dua kes membabitkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan sebuah pusat zakat peringkat negeri serta sebuah agensi perkhidmatan awam.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan set data dan dokumen baharu berkaitan dakwaan berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.

Beliau dan pasukannya dijadual hadir semula ke ibu pejabat SPRM pada hari Rabu bagi menyerahkan beberapa set maklumat baharu, termasuk dakwaan rasuah yang turut melibatkan agensi lain.

Dalam dakwaan pertama, Badrul Hisham mendakwa ketua sebuah agensi perkhidmatan awam memiliki kekayaan luar biasa, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai punca perolehan aset berkenaan.

Dakwaan kedua pula melibatkan sebuah pusat zakat negeri, yang menurutnya berlaku penyelewengan dan salah guna kedudukan, khususnya berkaitan penggunaan dana zakat untuk pembelian tanah yang didakwa memberi manfaat kepada kroni serta pihak berkepentingan tertentu.

Badrul Hisham, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, menegaskan bahawa pendedahan itu tidak bertujuan menyerang institusi Islam atau mana-mana badan tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata usaha berkenaan bertujuan membersihkan institusi terlibat, sambil mengumpamakan tindakan itu sebagai membela anggota bawahan apabila timbul dakwaan kononnya pihaknya menyerang angkatan bersenjata.

-BTSMedia.my

Leave a Comment