BTS Media

Pesara pemastautin tetap Singapura didenda RM9,000 manipulasi nombor kereta beli RON95

SEORANG pesara berstatus Pemastautin Tetap Singapura didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memanipulasi nombor pendaftaran kenderaannya bagi membolehkan pembelian petrol bersubsidi RON95.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh, Long Sa Kow, 64, hadir ke mahkamah pada pukul 7.50 pagi hari Rabu dengan memakai topi dan pelitup muka. Dia didakwa mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang bukan untuk kereta buatan Jerman yang dipandunya di sebuah stesen minyak di Batu 21 1/4, Jalan Johor Bahru–Air Hitam kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 Januari lalu.

Tertuduh yang menetap di Singapura meminta pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris kerana tidak memahami Bahasa Malaysia atau Mandarin, sebelum mengaku bersalah di hadapan Majistret R. Salini.

Mahkamah diberitahu bahawa ketika fakta kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, tertuduh beberapa kali cuba mencelah dengan mempertikaikan butiran kes, menyebabkan majistret menegurnya agar tidak mengganggu prosiding. Selepas tertuduh berkata dia tidak bersetuju dengan fakta kes, mahkamah mengambil rehat selama 30 minit bagi memberi penjelasan dalam bahasa Inggeris.

Selepas rehat, mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh didakwa menutup beberapa huruf pada nombor pendaftaran kenderaannya dengan niat untuk mengisi petrol RON95, bersubsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia. Perbuatan tersebut dirakam dalam satu klip video yang tular di media sosial, sekali gus membawa kepada siasatan pihak polis.

Hasil siasatan mendapati nombor enjin dan casis kenderaan berkenaan didaftarkan di Singapura. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan pendakwa raya, S. Thiviya, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai peringatan kepada tertuduh dan orang ramai, selain menegaskan niat tertuduh mengubah nombor pendaftaran adaah bertujuan untuk menikmati keistimewaan yang dikhaskan kepada penduduk tempatan dan kenderaan berdaftar di Malaysia.

Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli, yang mewakili tertuduh, memohon denda diringankan atas alasan anak guamnya merupakan pesara tanpa pendapatan tetap dan mempunyai tiga orang anak.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM9,000, atau penjara sembilan bulan jika gagal berbuat demikian. Tertuduh menjelaskan bayaran denda tersebut.

-BTSMedia.my

Leave a Comment