BTS Media

Mahkamah Persekutuan kekal pembebasan Samirah dalam kes pembunuhan CEO Cradle Fund

MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Abu Bakar Jais, menolak rayuan pihak pendakwaan atas alasan tiada sebab untuk mencampuri dapatan mahkamah-mahkamah di peringkat lebih rendah.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa selepas meneliti alasan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, tiada kesilapan ditemui dalam keputusan membebaskan responden. Mahkamah turut mendapati, berdasarkan hujahan bertulis dan lisan kedua-dua pihak, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan serta gagal membuktikan niat bersama yang boleh menyebabkan kematian mangsa.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 8 Februari 2024, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Samirah serta dua remaja itu daripada pertuduhan membunuh.

Sebelum itu, pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan membebaskan tertuduh tanpa memerintahkan mereka membela diri.

Samirah, 50, balu kepada Nazrin, bersama dua remaja tersebut dan seorang wanita Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga 4 pagi keesokan harinya.

Dalam mengekalkan pembebasan tertuduh, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan mereka.

Mahkamah itu juga mendapati bukti tidak mencukupi untuk membuktikan kebakaran tersebut disengajakan, susulan percanggahan keterangan antara Jabatan Kimia Malaysia dan penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain itu, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa keterangan berkaitan petrol serta analisis yang dijalankan tidak menggunakan kaedah yang diperakui, dan penyiasat telah mengabaikan langkah-langkah penting yang diperlukan dalam kajian terhadap bahan tersebut.

-BTSMedia.my

Leave a Comment