MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur membatalkan petisyen membantah kemenangan Datuk Dr Radzi Jidin di Parlimen Putrajaya, sekali gus mengekalkan kedudukan Naib Presiden BERSATU itu di kerusi berkenaan.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Faizah Jamaludin berhubung petisyen difailkan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim, sekali gus membenarkan permohonan bantahan awal difailkan Radzi terhadap petisyen berkenaan.
Faizah berkata, Ahmad Faisal gagal membuktikan wujud kegiatan rasuah membabitkan Radzi mengikut Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Saya juga mendapati petisyen itu defektif (cacat) kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
“Dengan itu, petisyen berkenaan dibatalkan dan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar (Ahmad Faisal) kepada responden (Radzi),” katanya dalam prosiding kes secara dalam talian.
Turut hadir, peguam, Yusfarizal Yusuff dan Datuk Mohd Hafarizam Harun, masing-masing mewakili Radzi serta Ahmad Faisal.
Ahmad Faisal yang juga pengundi di Parlimen sama memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu, yang antara lain mendakwa ada bayaran RM150 diberikan pihak calon Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mengundi Radzi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau mendakwa, bayaran itu diserahkan pekerja PN kepada seorang lelaki dan pengundi di kawasan Parlimen sama, yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp pada 4 Januari lalu memaklumkan pengundi luar menerima imbuhan.
Pada PRU15, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan menang kerusi Parlimen Putrajaya yang sebelum ini dikuasai oleh Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional (BN) dengan kelebihan 2,310 undi.
Beliau memperoleh 16,002 undi, manakala Tengku Adnan mendapat 13,692 undi.
Calon lain, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan) memperoleh 5,988 undi; Mohd Rosli Ramli (PEJUANG) mendapat 878 undi dan dua calon Bebas, Lim Fice Bee (20 undi) serta Samsudin Mohamad Fauzi (63 undi).
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1075031/radzi-jidin-kekal-ahli-parlimen-putrajaya