GAMBAR: AsiaONE
JUALAN durian di Singapura meningkat dengan begitu laris susulan hasil tuaian jenis Musang King yang luar biasa di Malaysia sehingga menyebabkan harga jatuh ke paras terendah dalam beberapa tahun.
Menurut pembekal, peniaga terpaksa menurunkan harga durian premium itu, yang juga dikenali sebagai Mao Shan Wang.
Seorang peniaga durian berkata harga Musang King yang dijual sejak bulan November adalah yang terendah sejak tahun 2018, dengan jualan pada kadar jauh lebih rendah berbanding harga biasa.
Kejatuhan harga itu dikatakan turut memberi kesan kepada jenis-jenis durian lain, sekali gus mendorong peningkatan jualan sekitar 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Lebihan bekalan akibat hasil tuaian besar itu, menyebabkan peniaga menyimpan stok durian terlalu banyak berbanding permintaan. Sehubungan itu, beberapa perniagaan memperkenalkan promosi agresif bagi menghabiskan stok, termasuk tawaran berbilang kotak pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini.
Pemerhati industri di Malaysia menggambarkan keadaan tersebut sebagai satu fenomena “tsunami durian”, apabila pelbagai tawaran berjaya menarik orang ramai. Seorang pengusaha durian di Singapura berkata bekalan mula meningkat mendadak sekitar tiga minggu lalu, dan keadaan ini jarang berlaku sejak lebih 10 tahun.
Beliau berkata harga rendah telah meningkatkan perniagaan sebanyak 30 hingga 40 peratus berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Seorang lagi peniaga dalam talian berkata jumlah pesanan harian melonjak kepada lebih 100 sejak bulan November, berbanding sekitar 60 hingga 70 sebelum ini, selari dengan penurunan harga Musang King sejak pertengahan tahun.
Bagaimanapun, para peniaga menjangkakan harga durian akan kembali meningkat selepas awal bulan Januari apabila bekalan mula berkurangan menjelang penghujung musim.
Mereka menjangkakan durian masih akan berada di pasaran sehingga Tahun Baharu Cina, tetapi dengan harga berbeza, bergantung bekalan.
-BTSMedia.my



