BTS Media

Australia mula kuat kuasa larang remaja guna media sosial

Australia melaksanakan larangan penggunaan media sosial terhadap remaja bawah 16 tahun pada 10 Disember, satu tindakan yang digambarkan pemerhati sebagai langkah paling drastik dunia setakat ini untuk mengekang kandungan toksik dan buli siber dalam kalangan muda.

Undang-undang itu, yang diluluskan tahun lalu, mewajibkan platform seperti TikTok milik ByteDance serta Instagram milik Meta menyekat pengguna bawah umur atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta.

Pemerhati antarabangsa menyifatkan Australia sebagai negara demokrasi pertama yang berani mengambil tindakan sekeras itu, sekali gus mencetuskan gelombang tumpuan global.

Menurut laporan AFP, beberapa negara kini berlumba-lumba menilai langkah serupa selepas melihat lonjakan kesan negatif media sosial terhadap remaja.

Selain TikTok dan Instagram, platform seperti Snapchat, YouTube, Reddit dan beberapa lagi turut terikat dengan peraturan baharu itu. Kesemua syarikat itu memaklumkan bahawa mereka akan mematuhi undang-undang tersebut, walaupun ada yang mengkritik pelaksanaannya sebagai terburu-buru dan dikhuatiri menolak remaja ke ruang internet yang lebih berbahaya. Reddit pula mengumumkan pelancaran ciri keselamatan baharu untuk semua pengguna bawah 18 tahun di seluruh dunia.

Pesuruhjaya eSafety Australia, Julie Inman Grant, berkata dalam satu forum minggu lalu bahawa peraturan itu dilihat sebagai “domino pertama”, menunjukkan ketika ini dunia berada pada tahap kritikal yang memerlukan tindakan lebih tegas untuk melindungi generasi muda.

Tanda-tanda awal menunjukkan remaja Australia mula berhijrah ke aplikasi alternatif. Perkhidmatan Rednote milik China, yang menyerupai Instagram, dilaporkan mencatat peningkatan pengguna aktif mingguan sebanyak 37 peratus pada minggu pertama bulan Disember berbanding tahun lalu. Platform Coverstar pula melonjak 488 peratus dalam tempoh sama, menurut firma risikan pasaran SensorTower.

Dalam masa yang sama, penggunaan rangkaian peribadi maya (VPN) turut meningkat mendadak.

Platform pemantauan global Top10VPN mendedahkan permintaan untuk VPN pada hari Ahad melonjak 103 peratus berbanding purata harian 28 hari sebelumnya, dipercayai sebagai taktik remaja untuk memintas larangan berkenaan.

Beberapa remaja turut menggunakan TikTok pada hari Selasa dengan tanda pagar #socialmediaban untuk meluahkan pandangan masing-masing. Seorang pengguna mendakwa berusia 14 tahun mengkritik undang-undang itu, tetapi ramai komen menyanggahnya dan menyokong larangan tersebut sebagai langkah penting demi keselamatan generasi muda.

Pemerhati dasar awam di Jakarta, Copenhagen dan Brasilia pula sedang meneliti perkembangan di Australia, sambil mempersiapkan langkah untuk mengawal selia firma teknologi besar.

Indonesia mengumumkan keperluan persetujuan ibu bapa bagi pengguna bawah 18 tahun – langkah yang menurut seorang wakil syarikat media sosial sebagai “bencana”. Namun pegawai kementerian negara itu menegaskan bahawa “bencana sebenar sudah pun berlaku” apabila melihat keadaan remaja kini, menurutnya dalam satu forum di Sydney.

-BTSMedia.my

Leave a Comment