BTS Media

Pesalah, bukan pembayar cukai, patut tanggung kos salah laku polis – Hakim Mahkamah Tinggi

SEORANG hakim Mahkamah Tinggi berkata sudah tiba masanya kerajaan persekutuan mempertimbang untuk mendapatkan semula, sama ada sebahagian atau keseluruhan bayaran ganti rugi daripada pihak bersalah dalam saman sivil terhadap kerajaan, berikutan peningkatan jumlah pampasan yang ditanggung pembayar cukai.

Kenyataan ini dibuat ketika mahkamah mengarahkan kerajaan membayar hampir RM37 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh atas kehilangan paksa, serta lebih RM3 juta kepada keluarga aktivis Amri Che Mat berhubung kecuaian dalam siasatan polis bulan lalu.

Dalam alasan penghakiman setebal 126 muka surat yang tersiar di laman web kehakiman semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Su Tiang Joo memberi amaran bahawa jumlah ganti rugi yang semakin tinggi akhirnya menambah beban rakyat.

Beliau menegaskan bahawa keadaan ini lebih ketara memandangkan pihak yang bertanggungjawab sepatutnya menjaga keamanan dan keselamatan negara, termasuk mencegah jenayah serta menangkap dan mendakwa pesalah.

Menurutnya, dengan mengambil langkah mendapatkan sumbangan atau indemniti daripada pihak yang bersalah, mereka yang bersalah dapat disingkirkan supaya majoriti anggota yang berintegriti tidak tercemar dan tuduhan kegagalan institusi tidak terus dibangkitkan.

Semasa membacakan keputusan pada 5 November, beliau menyentuh ironi bahawa pampasan yang tinggi akhirnya menyebabkan lebih banyak dana awam digunakan untuk menampung salah laku penjawat awam, sesuatu yang bercanggahdengan konsep keadilan dan kewajaran.

Beliau turut merujuk ucapan bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher, yang menegaskan bahawa tiada istilah wang awam, semuanya adlah wang pembayar cukai.

Bagaimana jumlah pampasan ditentukan

Dalam pemberian ganti rugi am dan teruk kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, hakim menerima keterangannya bahawa dia mengalami tekanan mental dan penderitaan akibat ketidakpastian tentang nasib suaminya.

Beliau turut mengecam sikap defendan, yang didakwa tidak mengambil kira penderitaan Norhayati dan menafikannya, walaupun bukti menunjukkan dia berusaha sendiri mengumpul maklumat daripada keluarga, jiran dan masyarakat, selain mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan siasatan.

Namun, kemudian dia mengetahui bahawa siasatan itu tidak diambil serius dan terpaksa mendesak penubuhan pasukan petugas khas (STF), sebelum akhirnya mendapati hasil siasatan itu pula diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi.

Hakim berkata bahawa semua pihak berkuasa, termasuk defendan, didakwa mengabaikan usaha Norhayati, dan menyifatkan dakwaan bahawa keadaan itu tidak menimbulkan tekanan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Beliau menambah bahawa tindakan mengekalkan klasifikasi kes sebagai orang hilang dan menghentikan siasatan sejak tahun 2019, di samping sesi soal balas yang keras sepanjang perbicaraan, telah memburukkan lagi penderitaan plaintif. Atas sebab itu, ganti rugi am dan teruk berjumlah RM2 juta diberikan.

Bagi ganti rugi teladan, hakim menolak hujahan bahawa tindakan defendan tidak cukup keterlaluan untuk dihukum, dan menyatakan terdapat perbuatan tidak berperlembagaan oleh beberapa pegawai polis di bawah kerajaan persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa penafian berterusan terhadap dapatan Suhakam dan STF, selain kegagalan bertindak serta penyembunyian dapatan yang dibiayai wang awam, adalah perbuatan menindas dan tidak rasional. Justeru, RM1 juta ganti rugi teladan diberikan.

Norhayati turut diberikan RM14,254 sebagai ganti rugi khas bagi menampung yuran sekolah tiga anaknya untuk tempoh lapan tahun lapan bulan sejak kehilangan Amri.

Keputusan itu dibuat susulan saman yang difailkan Norhayati pada tahun 2019 bagi mendapatkan maklumat tentang nasib suaminya dan menuntut ganti rugi berdasarkan dapatan laporan pasukan petugas khas.

Pada bulan April 2019, Suhakam memutuskan bahawa kehilangan Amri adalah kehilangan paksa yang dilakukan ejen kerajaan daripada Cawangan Khas polis.

Amri diculik sekitar tengah malam 24 November 2016 ketika memandu, selepas kenderaannya dikepung tiga kereta dan lima lelaki, dan beliau masih belum ditemui hingga kini.

-BTSMedia.my

Leave a Comment