SEKUMPULAN pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap di sebuah hotel di Hat Yai, Thailand, susulan banjir besar di wilayah itu, merayu bantuan segera.
Seorang pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, memaklumkan bahawa dia bersama 35 pelajar lain dan empat pensyarah yang mengikuti Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025 kini berdepan kekurangan bekalan makanan selepas air dan elektrik terputus di hotel berkenaan.
Menurutnya, mereka ditempatkan di tingkat lima, manakala banjir telah menenggelami aras bawah bangunan tersebut.
Usaha membawa masuk trak atau kenderaan pacuan empat roda ke kawasan hotel gagal kerana paras air terlalu tinggi dan arus deras.
Pemindahan yang dirancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan berikutan hujan berterusan dan keadaan air yang tidak stabil.
Pihak berkuasa tempatan di Hat Yai, bersama konvoi bantuan ikhsan United Sikhs Malaysia, dan satu Pasukan Bomba Sukarela dari Kedah, setakat ini antara yang terawal tiba di Hat Yai memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas.
 – BTSMedia.my



