BTS Media

Pelajar UUM terperangkap di Hatyai rayu bantuan

SEORANG pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir merayu bantuan segera, khususnya bekalan makanan, kerana keadaan mereka semakin mendesak.

Menurut mesej yang tular dalam kalangan rakan-rakan, pelajar perakaunan Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi memaklumkan bahawa dia bersama 35 pelajar lain, yang menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025, kini bergantung kepada bekalan makanan yang semakin berkurangan. Mereka menginap di sebuah hotel di bandar tersebut, dan kini terputus bekalan elektrik dan air, sementara talian komunikasi pula tidak stabil.

Menurut Bernama, kumpulan itu kini berlindung di tingkat lima bangunan Wangburapa Grand Hotel, manakala aras bawah hotel telah dinaiki air. Kawasan persekitaran hotel turut didinaiki air banjir, menyebabkan kenderaan berat termasuk trak dan pacuan empat roda tidak dapat melalui kawasan terbabit.

Sehingga pukul 9.43 malam waktu Thailand pada hari Sabtu, hujan belum reda dan paras air terus meningkat dengan arus deras di beberapa lokasi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM yang menjalankan tugas Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, mengesahkan bahawa seramai 36 pelajar serta empat pensyarah universiti tersebut kini terkandas di Hatyai.

-BTSMedia.my

Leave a Comment