GAMBAR: Anadolu.
Oleh Yusoff A. Shariff
BERIBU-RIBU mayat masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat serangan Israel yang berterusan.
Pasukan pertahanan awam di Semenanjung Gaza pada hari Ahad melaporkan bahawa kekurangan peralatan menghalang usaha untuk mengeluarkan mayat-mayat tersebut.
Dalam satu kenyataan diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri Gaza, jurucakap pertahanan awam Mahmoud Basal berkata tentera Israel tegar menyasarkan wilayah itu secara berterusan sejak 7 Okt.
“Beribu-ribu syuhada masih di bawah runtuhan, dan kami tidak berupaya mengeluarkan kesemuanya,” kata beliau.
Tentera Israel meneruskan serangan bom di Semenanjung Gaza pada awal Jumaat selepas mengisytiharkan penamatan jeda kemanusiaan selama seminggu.
Setakat ini, lebih 15,200 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, terbunuh sejak 7 Oktober.
Israel pula mendakwa angka kematian rasmi mereka hanya 1,200 orang.
-BTS Media