BTS Media

Pakistan digesa buka laluan sempadan dengan India untuk hantar bantuan kepada mangsa banjir

AGENSI bantuan antarabangsa yang bergelut untuk membantu ratusan ribu penduduk Pakistan menderita kehilangan tempat tinggal akibat banjir di negara itu meminta pelonggaran sekatan import makanan dari musuh lamanya, India, kata seorang menteri Pakistan pada Rabu (31 Ogos).

Hujan monsun luar biasa lebat telah mencetuskan banjir hingga menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu dan mengorbankan lebih 1,100 orang, termasuk 380 kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merayu sumbangan kira-kira RM716 juta untuk membantu menangani keadaan yang disifatkan sebagai “malapetaka iklim yang tidak pernah dijangka berlaku sebelum ini”, lapor Reuters.

Harga makanan yang melonjak susulan bencana itu dilaporkan menambah lagi kesengsaraan bagi berjuta-juta penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Menteri Kewangan Miftah Ismail berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan di sempadan dengan India, yang sebahagian besarnya ditutup untuk membolehkan bekalan sayur-sayuran dan makanan lain masuk ke Pakistan.

Melalui Twitter, beliau berkata lebih daripada satu agensi antarabangsa telah menghubungi kerajaan untuk membenarkan mereka membawa masuk barangan makanan dari India melalui laluan darat.

Beliau berkata kerajaan akan memutuskan sama ada membenarkannya berdasarkan syarat bekalan dan selepas berunding dengan rakan gabungan dan pemegang kepentingan utama.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata bahawa ratusan ribu ekar tanaman telah musnah hanyutkan banjir.

Negara India dan Pakistan yang berjiran berperang sebanyak tiga kali sejak setelah berpisah pada 1947, dan semua sempadan ditutup rapat hingga sekarang.

-BTS Media

Leave a Comment