BTS Media

Pakistan berdepan krisis serius: Lebih 1,061 maut, hampir 30 juta hilang tempat tinggal akibat banjir

GAMBAR ATAS: Imej satelit bencana banjir di Pakistan

 

Oleh Yusoff A. Shariff

MENURUT Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Pakistan (NDMA), lebih 900 orang maut, hampir 300,000 rumah rosak dan kira-kira 200,000 rumah musnah sepenuhnya.

Berdasarkan anggaran sekitar enam orang tinggal dalam sebuah isi rumah (anggaran konservatif) maka bencana banjir besar kali ini menyaksikan lebih 30 juta orang – hampir 15 peratus daripada keseluruhan penduduk Pakistan kehilangan tempat tinggal atau hidup tanpa tempat tinggal yang mencukupi, lapor akhbar DAWN yang memetik wartawan Zarrar Khuhro.

Anggaran yang sama ini juga telah disuarakan oleh menteri perubahan iklim Sherry Rehman dan menteri perancangan, pembangunan dan pembaharuan persekutuan Ahsan Iqbal.

Bagaimana pun, kadar kemusnahan ini hanya dianggaran, kerana kesan sebenar mala petaka hanya akan diketahui apabila keadaan reda.

Bencana kali ini dikatakan beberapa kali ganda lebih dahsyat daripada banjir besar yang melanda Pakistan pada 2010, perbezaannya kali ini banjir dilaporkan berlaku di hampir semua kawasan, dan bukan hanya di kawasan tepi sungai.

Wilayah Sindh dilaporkan ditenggelami air dari Karachi hingga Kashmore akibat hujan lebat dalam tempoh masa yang singkat, sementara lebih 2,200km jalan raya musnah sama sekali.

Pasukan bantuan dan penyelamat juga dilaporkan tidak mampu menangani keadaan, justeru meninggalkan ribuan mangsa terpaksa bermalam di kawasan terbuka atau setidak-tidaknya pun bagi yang bernasib baik, mendapat bekalan khemah di kawasan banyak nyamuk dan air tercemar.

GAMBAR: Wikimedia Commons.

Menurut DAWN, infrastruktur di wilayah Balochistan di barat daya negara itu yang merupakan kawasan paling mundur habis musnah, manakala hubungan jalan raya terputus sama sekali apabila lebih 710km jalan raya dihanyutkan air deras.

Ketua Menteri Sindh, Murad Ali Shah berkata keseluruhan tanaman kapas, tebu dan ladang buah-buahan juga musnah. Keadaan ini bakal membawa penderitaan meluas kepada masyarakat petani dan peladang di kawasan tersebut. Senario dikatakan akan lebih parah memandangkan eksport utama wilayah itu ialah tekstil.

Turut berdepan dengan krisis, pengilang padi dan pengeksport beras, penanam gandum dan pengusaha ternakan.

Dari segi ekonomi, kerugian terkumpul bermakna tamparan besar kepada KDNK Pakistan dan kemungkinan berlaku krisis kekurangan makanan yang bakal menyaksikan penghijrahan beramai-ramai penduduk dari kawasan luar ke bandar.

-BTS Media

Leave a Comment