BTS Media

Pakistan akan agih wang untuk berjuta mangsa banjir bina rumah musnah akibat banjir paling teruk

PERDANA Menteri Pakistan Shabaz Shariff pada Rabu berjanji bahawa kerajaan akan memastikan mereka diberikan wang untuk membina semula rumah yang musnah selepas banjir paling buruk melanda di negara itu.

Dengan musim sejuk hanya tinggal beberapa minggu lagi, setengah juta penduduk yang kini berada di kem pemindahan sementara di negara itu perlu diberikan perlindungan secepat mungkin, lapor abcNEWS.

Bencana itu telah memusnahkan lebih daripada 1.7 juta rumah, mengorbankan 1,481 orang sejak pertengahan Jun, dan menjejaskan kehidupan kira-kira 33 juta lagi penduduk.

Buat masa ini, keutamaan kerajaan adalah untuk menghantar makanan, khemah dan wang tunai kepada mangsa.

Menurut Shahbaz, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membantu rakyatnya dari segi kewangan supaya boleh membina semula rumah dan kembali menjalankan kehidupan seperti biasa.

Beliau berkata, mereka yang kehilangan tanaman akan mendapat pampasan daripada kerajaan.

Sharif juga memberitahu berpuluh murid sekolah yang belajar di khemah sementara disediakan oleh bantuan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNICEF di bandar Suhbatpur, bahawa mereka akan mendapat sekolah baharu dalam tempoh dua bulan.

“Pakistan tidak pernah menyaksikan kemusnahan begitu besar yang disebabkan oleh perubahan iklim seperti ini,” kata Sharif semasa perhimpunan peguam di Islamabad pada Rabu.

“Adalah amat menyayat hati melihat kampung, pekan dan bandar ditenggelami air.”

Bencana itu turut telah memusnahkan lebih 70 peratus tanaman gandum, kapas dan lain-lain.

Pada mulanya kerajaan menganggarkan jumlah kemusnahan kira-kira AS$10 bilion, tetapi kini mendapati bahawa ia jauh lebih teruk.

PBB menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya negara-negara mereka yang bertanggungjawab terhadap menyumbang kepada perubahan iklim, untuk menghantar lebih banyak bantuan ke Pakistan.

Banjir yang dicetuskan oleh musim tengkujuh itu telah menghanyutkan seluruh kampung, jambatan dan jalan raya di satu pertiga daripada negara itu.

Saintis menyalahkan perubahan iklim yang telah mencetuskan bencana begitu buruk.

-BTS Media

Leave a Comment