BTS Media

Tular video gelandangan disimbah air – AmBank mohon maaf

PIHAK AmBank hari ini memohon maaf susulan tersebarnya sebuah video di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki gelandangan disimbah air dan ditendang di kawasan luar cawangan bank di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan bank terbabit, mereka menyatakan rasa “amat sedih dan prihatin” terhadap kejadian itu dan menegaskan bahawa keselamatan di premis bank adalah keutamaan mereka. AmBank juga memaklumkan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

Video tersebut memaparkan bagaimana lelaki yang sedang tidur di laluan pejalan kaki berhampiran cawangan bank disembur dengan air oleh seorang pengawal keselamatan, kemudian ditendang oleh individu lain yang dipercayai tukang kasut.

AmBank menjelaskan bahawa pengawal keselamatan berkenaan adalah pekerja syarikat perkhidmatan keselamatan luaran yang dilantik oleh bank, manakala individu kedua adalah tukang kasut yang berasa kurang senang dengan kehadiran gelandangan tersebut.

Bank itu turut menegaskan bahawa semua kakitangan, vendor dan rakan kongsi yang mewakili organisasi mereka diharapkan untuk menegakkan tingkah laku profesional tertinggi dalam semua keadaan.

-BTS Media.my

Leave a Comment