PUSAT Kawalan Bencana Negara (NDCC) memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir di seluruh negara meningkat mendadak kepada 2,054 orang daripada 782 keluarga, dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah menunjukkan trend pemindahan yang terus meningkat setakat pukul 6 pagi.
Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah.
Kelantan mencatat jumlah penduduk terjejas paling ramai. Keadaan di negeri itu semakin buruk apabila 1,565 mangsa dipindahkan ke 12 PPS di Tumpat, Bachok dan Kota Bharu, kerana paras air yang terus meningkat.
Menurut NDCC, Tumpat menempatkan 629 mangsa di dua PPS, diikuti Bachok dengan 562 mangsa di tiga PPS, manakala 374 mangsa lagi berada di tujuh PPS di Kota Bharu. Ketiga-tiga daerah itu menunjukkan trend kenaikan berterusan, menandakan lebih ramai penduduk dipindahkan sepanjang malam.
Di Terengganu, satu PPS di Kuala Nerus menempatkan 264 mangsa daripada 87 keluarga, dengan keadaan diklasifikasikan sebagai tidak berubah walaupun MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca berterusan untuk pantai timur.
Di Kedah, dua PPS dibuka di Kulim bagi menempatkan 225 mangsa daripada 66 keluarga, sekali gus menandakan kejadian banjir baharu di daerah itu.
Jumlah mangsa banjir yang hampir sifar sejak beberapa hari lalu melonjak kepada 862 orang pada 22 November sebelum meningkat lebih dua kali ganda kepada 2,054 orang pagi ini.
Sementara itu, data telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan beberapa sungai di Johor, Perlis dan Terengganu berada pada atau melepasi paras amaran. Antara sungai yang mencatat peningkatan termasuk Sungai Punggai di Kota Tinggi, Sungai Endau di Mersing, Sungai Perlis di Padang Besar, Sungai Arau di Arau, serta Sungai Perai di Seberang Perai Utara.
NDCC turut memaklumkan bahawa menurut Jabatan Kerja Raya, beberapa laluan utama masih ditutup atau hanya boleh dilalui secara terhad akibat tanah runtuh, jalan runtuh atau jambatan rosak.
Laluan yang masih ditutup sepenuhnya ialah Jalan Gua Musang–Jelawang dan Jalan Lojing–Gua Musang (FT185) di Kelantan, Jalan Kenari di Barat Daya Pulau Pinang, serta laluan Aring 8–Tasik Kenyir–Kuala Jeneris di Terengganu.
Nelayan dan penduduk pesisir pantai dinasihatkan supaya berwaspada kerana ombak besar, angin kencang dan laut bergelora di beberapa zon maritim termasuk Phuket, Selat Melaka, Samui, Tioman, Bunguran, Labuan dan Layang-Layang. Bot-bot kecil dinasihatkan supaya tidak turun ke laut.
-BTSMedia.my



