DI FILIPINA, operasi menyelamat giat dijalankan di seluruh utara Pulau Luzon pada hari Selasa dalam usaha negara itu membersihkan kemusnahan akibat Taufan Fung-wong, yang meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa dan memaksa lebih 1.4 juta penduduk berpindah.
Jentera pengorek dan gergaji rantai digunakan untuk membersih runtuhan dan membuka semula jalan terhalang, sementara paras banjir mula surut di ratusan kampung yang terjejas.
Taufan Fung-wong, yang kini semakin lemah, dijangka membadai Taiwan pada hari Rabu. Hari ini sekolah dan pejabat sudah pun ditutup bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Di beberapa kawasan wilayah Isabela dan Nueva Vizcaya yang masih terputus hubungan akibat tanah runtuh, pasukan penyelamat mendapati sukar untuk menyalurkan bantuan.
Kerja-kerja memulihkan infrastruktur penting seperti jalan raya, bekalan elektrik dan komunikasi mungkin mengambil masa beberapa minggu.
Di pulau Catanduanes, gangguan bekalan air dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya 20 hari, manakala ribuan penduduk masih berlindung di pusat pemindahan, sementara menunggu keadaan sesuai untuk pulang dan membina semula rumah mereka.
Di wilayah Cagayan, limpahan air Sungai Chico mengakibatkan banjir kilat di wilayah berhampiran Apayao, hingga memaksa penduduk mencari perlindungan di kawasan tinggi. Dalam pada itu, lebih 5,000 penduduk dipindahkan sebelum Sungai Cagayan melimpah dan menenggelamkan sebahagian besar bandar Tuguegarao.
Pakar cuaca sekali lagi memberi amaran bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia adalah punca kekerapan berlaku taufan kuat, dengan suhu laut dan udara panas menyumbang kepada tiupan angin kencang serta hujan begitu lebat.
Angka kematian meningkat selepas penemuan mayat-mayat di utara Luzon, termasuk beberapa kanak-kanak dalam kejadian tanah runtuh akibat tanah. Sebelum itu, kematian turut dilaporkan di wilayah Samar dan Catanduanes selepas ombak besar dan banjir melanda kawasan kediaman.
Taufan Fung-wong melanda hanya beberapa hari selepas Taufan Kalmaegi memusnahkan bahagian tengah Filipina, meragut sekurang-kurangnya 232 nyawa.
Presiden Ferdinand Marcos memaklumkan bahawa pengisytiharan “darurat bencana negara” akibat Kalmaegi akan dilanjutkan selama setahun bagi menyokong usaha pemulihan.
-BTSMedia.my



