LAWATAN Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia berakhir dengan persoalan berterusan mengenai bagaimana Asia Tenggara akan menyesuaikan diri dengan dasar perdagangan Washington yang berubah-ubah.
Sepanjang sidang kemuncak itu, Trump mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin serantau untuk membincangkan kadar tarif Amerika Syarikat.
Beliau juga menyaksikan pemeteraian perjanjian perdagangan dengan Malaysia dan Kemboja, selain rangka perjanjian dengan Thailand dan Vietnam.
Perjanjian tersebut menetapkan kadar tarif sekitar 20 peratus dan termasuk komitmen negara ASEAN untuk mengurangkan halangan bukan tarif serta meningkatkan pembelian barangan dari Amerika Syarikat.
Menurut laporan Al Jazeera, Malaysia mendapat pengecualian tarif bagi beberapa eksport utama seperti minyak sawit, getah dan koko, selain berjanji melabur sebanyak AS$70 bilion di Amerika Syarikat.
Namun, penganalisis berpendapat terma perjanjian itu lebih memihak kepada Washington dan sebahagian besarnya mengulangi dasar sedia ada.
Ancaman Trump untuk mengenakan tarif tinggi terhadap semikonduktor dan barangan “transshipment” masih belum diselesaikan, justeru menimbulkan kebimbangan terhadap rantaian bekalan di rantau ini.
Pakar turut mempersoalkan tahap penguatkuasaan perjanjian tersebut, memandangkan ia bukan perjanjian perdagangan bebas yang rasmi dan mungkin hanya dikuatkuasakan melalui ancaman tarif tambahan sekiranya negara terbabit gagal mematuhi komitmen yang dipersetujui.
— BTSMedia.my



