PRESIDEN Amerika Syarikat Donal Trump mendabik dada kononnya dia tidak akan berganjak.
Dia menegaskan bahawa kadangkala dalam tindakan membuat dasar, pusingan-U, pembatalan dan pembetulan juga perlu.
Bangga dan angkuh mengakui bahawa dia seorang pakar, tiba-tiba pada hari Rabu lepas dia menggesa supaya semua pihak bertenang, dan konon semuanya akan diselesaikan dengan baik.
Walau bagaimanapun, dalam hanya beberapa jam, dia mengubah pendirian dengan mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif perdagangan yang dinaikkan untuk kebanyakan negara, kecuali China.
Ini semua kerana tekanan ekonomi dan politik yang semakin meruncing.
Pembalikan mendadak dasarnya jelas bercanggah dengan imej pemimpin “hebat” yang tidak berbelah bahagi.
Dalam keadaan ini, beberapa pegawai White House cuba menggambarkan keadaan mengelirukan ini sebagai langkah strategik yang hebat, tanpa mempedulikan tamparan kepada kredibiliti AS sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai, kestabilan kewangannya, serta reputasi ekonominya.
Penganalisis ekonomi dan geopolitik, Larry Jacobs berkata kedudukan Trump sebagai presiden kini berada dalam keadaan bahaya.
Ini berikutan tempoh ketidakstabilan pasaran kewangan, dicetuskan pula oleh tindakan Trump mengenakan tarif yang melampau.
Pakar ekonomi menganggap wawasannya untuk memulihkan penguasaan industri di AS yang meleset sebelum ini sangat tidak realistik.
Tarif Trump membawa kesan negatif serta-merta, termasuk ketidakstabilan pasaran dan mengundang kecaman antarabangsa bertubi-tubi.
Walaupun menegaskan bahawa dia betul, Trump akhirnya tunduk kepada tekanan daripada pihak Republikan, pemimpin perniagaan, dan pasaran kewangan, yang amat bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk.
Walaupun penangguhan sementara beberapa tarif diumumkan, namun isu-isu asas dan ketegangan perdagangan yang berterusan, terutamanya dengan China, kekal. Ini semua menimbulkan keraguan terhadap kestabilan dan kebolehpercayaan dasar ekonomi AS secara jangka panjang.
-BTS Media