BAKAL Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menamakan dua warga Amerika berketurunan Arab untuk menyertai kabinetnya.
Beliau menamakan Dr Janette Nesheiwat sebagai Ketua Pegawai Kesihatan (Chief Surgeon General) dan Dr Marty Makary untuk mengetuai Pentadbiran Makanan dan Ubat AS (FDA).
Menurut akhbar Arab News, pengerusi kumpulan pro-Trump, Arab Americans for Trump (AAFT) Dr Bishara Bahbah, yang memainkan peranan penting dalam membantu Trump memperoleh hampir separuh undi rakyat Amerika berketurunan Arab menewaskan Naib Presiden Kamala Harris pada 5 Nov, memuji pelantikan bersejarah ini.
“Pencalonan ini menunjukkan pengiktirafan Trump terhadap peranan warga Arab Amerika dalam memilih beliau sebagai presiden ke-47,” kata Bahbah.
Beliau juga berkata bahawa AAFT menjangkakan lebih banyak pelantikan Arab Amerika, khususnya dalam politik negara itu.
Dr Makary, yang merupakan pakar bedah British Amerika berketurunan Lubnan, ialah profesor di Johns Hopkins School of Medicine dan Carey Business School.
Beliau mengetuai kaedah Islet Transplant Surgery (Pembedahan Kluster Sel), selain menumpukan penyelidikannya pada punca penyakit, dasar awam dan kos penjagaan kesihatan.
Sebagai ahli Akademi Perubatan Kebangsaan, beliau telah menghasilkan dua buku yang dikatakan terlaris oleh akhbar ‘New York Times’ dan juga menerbitkan lebih daripada 250 artikel ulasan sejawat.
Pendirian Dr Makary tentang vaksinasi Covid-19 dilihat sebagai sehaluan dengan kebanyakan penyokong konservatif Trump.
Berketurunan keluarga Kristian Jordan, Dr Nesheiwat adalah seorang doktor bertauliah dengan kelayakan diiktiraf oleh dua lembaga berasingan. Beliau digambarkan sebagai membawa pendekatan baharu dan jelas yang didakwa akan diterima baik oleh sektor perubatan AS.
Dilahirkan di Carmel, New York, beliau berkelulusan dalam bidang Sains Perubatan dari Universiti Arkansas.
Pelantikannya menandakan kali pertama orang Arab Amerika akan berkhidmat dalam jawatan kabinet AS.
-BTS Media