BTS Media

Helikopter dan jet pesawat pejuang Tentera Laut Amerika terhempas di Laut China Selatan

DUA pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat — helikopter Seahawk dan jet pejuang Super Hornet terhempas dalam dua kejadian berasingan semasa operasi di Laut China Selatan pada hari Ahad.

Semua anggota kru dapat diselamatkan, menurut Armada Pasifik Tentera Laut AS.

CNN melaporkan bahawa helikopter MH-60R Seahawk daripada skuadron “Battle Cats” terhempas sekitar pukul 2.45 petang waktu tempatan ketika menjalankan operasi dari kapal pengangkut pesawat USS Nimitz.

Tiga anggota kru diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Kira-kira 30 minit kemudian, sebuah jet pejuang F/A-18F Super Hornet daripada skuadron “Fighting Redcocks” turut terhempas ketika operasi penerbangan dari kapal yang sama. Kedua-dua juruterbang berjaya keluar menggunakan kerusi lenting dengan selamat.

Siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kedua-dua kejadian tersebut.

Laut China Selatan, yang dituntut oleh beberapa negara Asia Tenggara tetapi kebanyakannya dikawal oleh Beijing, kekal sebagai titik panas antara China dan Amerika Syarikat.

Operasi tentera laut Washington di kawasan itu merupakan sebahagian daripada strateginya untuk mengekang pengaruh ketenteraan China dan didakwa nagi  mempertahankan “kebebasan”  pelayaran di perairan antarabangsa.

Kejadian itu berlaku ketika Presiden Donald Trump meneruskan lawatan diplomatiknya ke Asia, yang turut merangkumi pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.

Lawatan tersebut berlangsung di tengah-tengah usaha meredakan ketegangan perdagangan selepas Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, mengumumkan bahawa satu rangka perjanjian perdagangan telah dicapai antara Washington dan Beijing.

Kejadian terbaharu ini menyusul selepas kehilangan dua jet Super Hornet di Laut Merah pada musim bunga lalu.

USS Nimitz, antara kapal perang terbesar di dunia dan kapal pengangkut pesawat tertua dalam perkhidmatan AS, dijangka akan bersara tahun depan.

BTSMedia.my

Leave a Comment